Sunday, December 12, 2010

Kita Bukan Hipokrit ..


* bismillah ~

"Eleh, kau pakai tudung pun bukannya ikhlas. Hipokrit!"
"Bajet baik la konon nak nasihat aku! Munafik laweyh!"
"Eh, sejak bila jadi pak lebai ni? Dah pandai cakap halal haram ni? Munafik betul!"
Sakit telinga mendengar. Sakit lagi dalam hati. Kerana itu, ramai yang tersungkur. Hasrat mahu berubah, terkubur hanya kerana 'suara keldai' ini. Inilah cabaran orang yang mahu berubah. Pasti dia akan terdengar cakap-cakap buruk dari manusia sebangsa dan seagama dengan mereka ini.
Persoalan saya, adakah orang yang mahu berubah itu orang hipokrit?
Tidak! Sama sekali bukan munafik orang yang mahu berubah. Sebaliknya, tindakan untuk berubah itu tindakan orang bijak dan berani. Maka,
izinkan saya menyatakan penghargaan saya kepada anda yang sedang berusaha untuk berubah. Anda seorang wira! Anda seorang pejuang! Dan anda seorang yang cantik di mata Tuhan.
Janganlah berhenti. Dalam banyak tempat dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji. Diuji, dan terus diuji hingga diyakini, siapa yang dalam kalangan kita yang benar-benar 'bulat' hatinya untuk mencari wajah-Nya.
Ujian ini Allah timpakan kepada kita seperti tangga. Selepas kita memanjat satu tangga, kita akan memanjat satu lagi. Kemudian, satu
lagi, dan satu lagi. Hinggalah kita mencapai puncak iaitu wajah redha-Nya. Antara ujian yang paling berat ialah penerimaaan masyarakat, ahli keluarga dan kawan-kawan kita.
Bagi yang lemah, pasti mereka akan berhenti memanjat hanya kerana label munafik atau hipokrit yang diberikan orang. Tuduhan yang
tersangat salah! Saya tertarik dengan satu hadis:
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" - Hadis riwayat At-Tabrani.
Saya paling tertarik dengan perkataan 'buat-buatlah menagis'. Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu
menipu Allah?
Tidak. Sama sekali tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Paling Faham akan manusia. Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.
Allah tahu segalanya. Dia tahu bahawa kita ada limit atau batasan. Kita tidak akan mampu terus berubah dengan mendadak. Kita hanya akan mampu berubah, sedikit demi sedikit. Kerana itu, Allah tak memberatkan kita dengan 'mesti menangis', sebaliknya Allah sediakan kita
keringanan, jika kita tak mampu, buat-buatlah menangis.
Dengan erti kata lain, jika kita tidak mampu jadi manusia yang terbaik, maka kita latihlah diri menjadi manusia yang baik! Lama-kelamaan, pasti kita akan dapat jadi yang terbaik. Bukankah mentol yang ada pada hari ini adalah hasil daripada ratusan kegagalan Thomas Edison? Saya pasti, kalau Thomas Edison berjiwa kecil, pasti dia akan putus asa apabila dicaci.
Untuk mencapai kesempurnaan iman, jangan takut mencuba menerima cacian.
Kesimpulan
Jangan peduli cakap orang. Bukankah kita mahu berubah kerana Allah? Allah pasti akan suka, jika kita mahu berubah. Cuma syaitan saja yang tak suka. Jadi, rasanya tidak melampau jika saya kata manusia yang menghalang orang buat baik, dia tu macam syaitan. Ada bantahan?
Selepas ini, jika ada lagi orang kata 'kau munafik', maka balaslah, "So what?"

Jadilah Dirimu Semula ..



Duhai dirimu yang kuhormati,
Jangan kau hilangkan kepercayaan dan harga dirimu yang selama ini terjaga.
Duhai dirimu yang kuiingati,
Sabarlah dengan penantian ini,
Halanglah dirimu daripada menghubungiku,
Jagalah hati kita agar tidak lalai dari mengingati-Nya,
Kerana cara itu lebih kusukai,
Bahkan aku bertambah yakin,
Namun, aku sedikit kecewa dengan dirimu,
Masih ingin menghubungiku walhal,
kau tahu kita bukannya mahram,
Yang tak patut kau hubungi.
Duhai dirimu yang kusegani tatkala dulu,
Jangan kau biarkan perasaan itu mengawal dirimu,
Hingga tindakanmu melebihi batas,
Jadilah dirimu semula,
Yang kukenali sebelum ini,
Kejarlah cita-cita yang murni,
Jangan kau lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepada yang Esa.

Bayang-Bayang Dunia ..



Dunia hari ini cukup pantas. Tidak sempat untuk dikejar. Perubahan yang melanda cukup deras. Siapa yang perlahan, nampaknya akan ketinggalan. Tapi itu kalau dunia yang kita kejar.
Kata Mr. X,
"Dunia is like a shadow, if you try to grab it, you won't be able to do so, but if you turn your back towards it, it has no choice but to follow you."
Namun harus diingat, bukanlah tidak mengejar dunia bermaksud kita mengasingkan diri dari masyarakat. Pergi beruzlah di dalam gua nun jauh di hutan sana. Tidak mahu bercampur dengan masyarakat dek kerana banyaknya maksiat. Ingat pesan ulama, orang yang bahagia di akhirat adalah orang yang paling sibuk di dunia!
Masih kita berbicara tentang 'pantas' ataupun 'segera'. Kita semua ingin sesuatu dengan segera. Sukar untuk ditunggu. Semuanya ingin cepat sahaja. Mee maggi cepat dimasak enak dimakan - demikian lagu iklan suatu ketika dahulu.
Sekadar peringatan, kehidupan kita tidak 'sesegera' itu. Untuk kita menjadi diri kita hari ini, ia memerlukan masa bertahun-tahun. Untuk sesorang itu berjaya dalam SPM, kebiasaannya ia memerlukan masa 17 tahun lamanya.
Pendek kata, kehidupan ini adalah satu proses. Proses memerlukan masa dan komitmen. Lebih menarik lagi, jika sesuatu itu adalah 'proses', maka semua orang boleh melakukannya. Contoh mudah; masak nasi adalah satu proses. Siapa pun kita, andai kita belajar proses memasak nasi, insyaAllah, hasilnya nasi bukan maggi.
Mari kita tutup dengan sambungan bicara Mr. X,
"Kita ada proses untuk ke neraka dan proses untuk ke syurga. Prosesnya tidak sama. Ramai orang kata saya hendak masuk syurga tapi prosesnya menuju ke neraka. Pelik tapi benar. Semacam orang hendak minum kopi tapi dibuatnya nescafe. Maka tepuk dada, tanya jiwa, anda melalui proses yang mana?"

Dakwah Perlu Berhikmah ..


* bismillah ~

Da'ie muda sekarang agak menyakitkan hati, sebagai da'ie haruslah bijak menangani masalah dan perkara buruk yang berlaku pada keadaan di sekeliling.
Kadang-kadang mulut cabul benar nasihat orang, bagaimanalah orang hendak lembut hati terima teguran.
Para da'ie muda perlu beringat! Setiap orang ingin rasa dihargai dan dihormati sebagai rakan dan orang yang punya hati dan perasaan. Jadi kita sebagai da'ie perlu fahami mereka.
Setengah kita sakit hati melihat orang yang suka berperangai 'gedik', 'bajet' dan 'menunjuk-nunjuk', selepas itu mulalah rasa hendak marah dan kutuk belakang-belakang, yang baik sikit ada pula yang tawarkan diri untuk menegur, tapi bila sudah ditegur macam buat tak tahu sahaja. Apalagi menyiraplah seluruh badan marah kepada dia!
Aduh, aduh, aduh, perlu KESABARAN! Mana ada orang boleh berubah sekelip mata, perubahan perlu 'step by step'.
Teguran pertama, mereka akan berfikir "Aku buat salah ke?". Jadi pada teguran pertama seseorang itu belum lagi mengalami proses penerimaan teguran. Mereka sedang mencari mana yang silap pada diri mereka.
Selalunya ego akan menguasai diri (tidak kira lelaki atau perempuan) dan mereka akan mencari jalan membela diri yang diri mereka tak salah.
Kita sebagai da'ie harus terima pendapat mereka dan cuba menerima sifat atau tabiat diri mereka yang sukar diubah, namun dalam senyap kita terangkan tabiatnya yang perlu diperbaiki!
Sebagai contoh :
01.Kalau orang suka bergurau secara melampau (sakitkan hati orang) dengan berpendapat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Apakah harus dibuat?
Katakan bahawa betul bergurau itu mengeratkan silaturrahim, tetapi setiap perkara ada baik dan buruknya kerana Allah menjadikan sesuatu benda memang ada sudut yang baik dan sudut yang buruk.
Dan antara semua perkara yang paling baik, adalah yang di tengah-tengah. Selepas itu, bagilah keterangan apa yang buruknya tentang bergurau secara melampau.
Tapi janganlah harap dengan sekali sahaja anda tegur mereka akan berubah, anda harus bersabar dan sentiasa mengingatinya.
Dalam proses menegur sekali lagi (mengingatkan mereka ketika buat salah), haruslah pandai mengambil hati mereka dengan memuji perbuatan baik yang mereka lakukan, dengan itu mereka akan rasa dihargai.
Boleh juga puji akan perubahan yang kita nampak pada diri mereka walaupun sedikit. Ketika itu juga kaitkan dengan prinsip akhlak agar mereka berminat dan tertarik dengan ciri seorang muslim sebenar sedikit demi sedikit.
Contoh lain :
02.Ketika kita melihat mereka sudah reda sedikit daripada bergurau secara melampau dengan kutuk-kutuk orang, Apa perlu kita buat?
Pujilah mereka, "Alhamdulillah, kan elok macam itu, tidaklah orang sakit hati, bahkan geli hati lagi dengan gurauan kamu, tidak macam dahulu, ada sahaja orang kutuk-kutuk kamu di belakang sebab tidak puas hati dengan kamu, kalau kamu buat lawak tidak jadi pun tidak mengapa, yang penting kita jaga 'hablumminallah' beserta 'hablumminannas'. Tidaklah tambah musuh, Allah pun suka!"
Lebih kurang begitulah, ikutlah ayat yang biasa kita guna sehari-hari, yang atas ini cuma contoh sahaja.
Apabila kita sudah rapat dan sentiasa ambil berat tentangnya, pada masa yang sama mereka akan sedar bahawa apa yang kita nasihat dan tegur adalah untuk kebaikan dirinya. Mereka akan fikir kembali untuk menjadi yang lebih baik dan cuba buang tabiat buruk mereka.
Yang penting, kita sebagai da'ie kena bagi sokongan, bukan tomahan kalau dakwah kita tidak berkesan. Kerana sebenarnya kesannya pada hati mereka bukan kelakuan, nafsu dan akal sedang berperang.
Mereka ini ada effort tetapi belum cukup kekuatan. Kita sebagai da'ie yang penyayang dan prihatin haruslah mendoakannya sentiasa dan memahaminya.
Tulisan ini hanya menunjukkan cara dakwah yang umum atau asas kerana setiap lorong dakwah mempunyai orang dan situasi yang berbeza. Jadi cara dakwah tidak boleh serupa sahaja.
Adakala perlu tegas, adakala perlu lembut. Tapi pastikan tegur bukan kerana marah dengan mereka. Marah dengan sikap mereka itu betul, tetapi sertakan kasih dan sayang pada diri mereka, agar mereka faham betul-betul niat kita.
Pandangan orang sekarang pada para da'ie 'poyo', 'bajet alim', 'perasan diri dia je betul', sakit hati kerana macam diri orang itu sahaja yang salah.
Maka para da'ie bersikap adillah dan jadilah qudwah hasanah.

Jangan Salahkan CInta ..


* bismillah ~

Hati manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.
Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-'e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.
Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.
Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.
Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syari-'at aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.
"Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah..." rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.
Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.
Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.
Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama.
Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkanpasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.
SEBELUM KAHWIN
Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.
Allah Taala berfirman, bermaksud: "...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)" (Surah An-Nur, 24:26)
Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila,tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.
Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.
Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;
Allah Taala berfirman, bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan..." (Surah An-Nisaa', 4:34)
Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.
Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.
Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.
Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.
Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.
Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.
Sanggupkah kalian bercinta?